Tuesday, December 16, 2008



Tempat seterusnya yang ingin saya cadangkan kepada pembaca ialah Muzium Astronomi Taipei. Muzium ini menjadi bukti betapa sains dan teknologi amat dipentingkan dalam aspek pendidikan negara ini. Sebaik sahaja saya memasuki bangunan muzium ini sudah kedengaran bunyi suara budak-budak. Anggaran saya sekitar umur 7-12 tahun. Semuanya bersedia mendengar taklimat daripada guru mereka tentang aktiviti yang bakal mereka saksikan nanti.


Bangunan yang ada tiga tingkat ini memudahkan anda memahami sejarah astronomi terutama astronomi Cina dan Barat. Cuma maklumat dalam bahasa inggeris akan kurang menyebabkan mereka yang tidak mahir berbahasa cina akan menghadapi sedikit masalah. Namun, gabungan gambar dan kreativiti pihak muzium membuat uji kaji dan reka bentuk memudahkan kita memahami sejarah asas astronomi.

Saya cadangkan supaya anda semua melihat kemampuan masyarakat cina dalam membuat ramalan astronomi dengan menggunakan peralatan-peralatan yang agak kuno tetapi konsep asas mereka masih diamalkan sehingga kini. Muzium ini juga menarik untuk diambil gambar terutama buat guru-guru sains yang pastinya mendapat ilhan untuk mendidik anak murid mereka untuk meminati sains.

Ada panggung 3D yang menarik terutama tentang kembara di Afrika. Gambar gajah begitu hidup dengan konsep 3D ini yang membuatkan anda pasti terkejut atau menjerit apabila terasa haiwan gergasi itu seolah-olah betul-betul di depan mata anda. Ramai juga yang menjerit ketika saya berada di situ.

Baiklah untuk pergi ke sini, anda perlu mengambil MRT merah dan berhenti di Shilin (yang sama seolah-olah untuk pergi ke Muzium Istana Kebangsaan Taiwan itu) dan keluar di pintu nombor 2. Selepas berjalan dan menemukan lampu trafik yang pertama anda bergerak ke sebelah kiri anda sehingga anda bertemu dengan bangunan muzium ini. Perjalanan anda akan mengambil masa lebih kurang 15 minit.

Atau kalau anda malas berjalan, anda boleh mengambil bas dengan menunggu di seberang jalan di depan lampu isyarat pertama yang anda jumpa itu. Bas bernombor 620 perlu anda naiki atau 30 untuk ke muzium ini.

Wednesday, December 10, 2008

Muzium Istana Kebangsaan Taiwan



Lawatan ke muzium merupakan idaman saya setiap kali berada di luar negara dan kali ini saya melawat Muzium Istana Kebangsaan Taiwan. Perjalanan ke tempat ini juga agak mudah kerana daripada Taipei anda hanya perlu mengambil MRT line merah menuju ke stesen Shilin dan turun di pintu keluar nombor 1. Di luar pintu itu anda akan menunggu bas yang bernombor 304 yang membawa anda terus ke muzium tersebut kerana itulah tempat terakhir bas itu berhenti.


Perjalanan bas tidak begitu lama. Kalau tidak silap saya sekitar 20 minit sahaja. Pemandangan yang indah turut dapat dihayati kerana kawasan ini dikelilingi oleh gunung. Kawasan hijau begitu banyak di kira kanan jalan. Mungkin ini memberi sedikit ketenangan kepada kesibukan bandaraya. Sebagai rakyat Malaysia saya rasa sedikit ceria melihat perubahan fizikal geografi ini.

Muzium ini ada tiga tingkat dan saya paling berminat ialah tingkat terakhir yang memaparkan batu jade yang diukir menjadi sayur kobis. Di atas sayur kobis itu terdapat belalang. Bentuk yang unik ini menggambarkan kemurahan rezeki terutama buat mereka yang berkeluarga. Jade ini juga unik kerana warna jade itu begitu menarik. Pengukir jade ini benar-benar menghargai kesenian kerana menggunakan warna semula jadi jade itu dan menjadikan ukiran jade itu kobis. Memang canggih.

Satu lagi perkara yang saya nampak ialah kebanjiran pelancong dari Jepun ke muzium ini. Saya membuat anggapan peribadi bahawa unsur atau pengaruh Jepun terhadap masyarakat negara ini memang besar.

Saya mengambil masa yang lama di situ dan mengagumi kepekaan masyarakat di sini terhadap khazanah negara mereka. Mungkin ini perkara yang perlu ada dalam diri masyarakat yang ingin berjaya iaitu menghormati khazanah lama mereka. Dalam perjalanan balik menaiki bas saya teringat Malaysia dan muzium kita. Sering juga saya ke sana dahulu tetapi tidak seramai ini saya lihat pengunjung muzium kita. Malah, kita tidak mempunyai muzium sebanyak ini di negara kita. Agaknya kenapa?

Sunday, December 7, 2008

Xinbeitou tempat destinasi saya


Baiklah untuk pengalaman pertama saya di Taiwan, elok kalau saya mulakan dengan kawasan Xinbeitou. Kenapa saya memilih kawasan ini? Mudah sahaja sebab kawasan ini menjadi tempat pertama saya pergi bersiar-siar ketika berada di Taiwan. Selain itu, kawasan ini turut berada dalam lingkungan bandaraya Taipei yang menjadi topik utama saya dalam blog ini. Kawasan ini sebenarnya berada dalam lingkungan kawasan kediaman saya sahaja. Jadi, anda boleh pergi ke kawasan ini dengan menaiki MRT. Sistem MRT di sini begitu meluas umpama di Singapura.


Anda menaiki sistem MRT berwarna merah di Taipei menuju ke Danshui tetapi berhenti di Beitou dan dari sana anda mengambil MRT yang menuju ke Xinbeitou pula. Mudah sahaja. Ada banyak tanda pandu arah dalam bahasa roman yang memudahkan anda untuk melihatnya. Buka mata sahaja.

Kawasan ini terkenal dengan kawasan air panasnya yang sudah lama diusahakan. Saya difahamkan bahawa kawasan ini menjadi satu destinasi kawasan rehat yang terkemuka buat penduduk Jepun dahulu iaitu ketika era Taiwan diduduki oleh Jepun. Kawasan ini telah dimajukan oleh Jepun sebagai satu tempat berehat yang paling terkenal di Taipei. Maklumat lebih terperinci boleh anda lihat apabila melihat Muzium Air Panas Beitou. Malah, kewujudan kawasan air panas ini menyebabkan harga rumah di kawasan ini begitu mahal. Semua rumah di kawasan ini mempunyai sistem air panas semula jadi yang unik.


Saya paling suka melawat kawasan Hell Valley kerana keindahan air panasnya terutam ketika melihat asap air panas meruap ke udara. Suasananya begitu menyegarkan bersama-sama dengan tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa. Ada juga kawasan air panas yang perlu dibayar tetapi harganya berpatutan terutama di Beitou Hot Springs. Lepas penat berjalan-jalan elok panaskan kaki anda sahaja atau anda ke sungai berhampiran dan masukkan kaki anda ke dalam air sungai sahaja. Memang menyegarkan perasaan itu.

Satu lagi tempat yang perlu dilawati ialah Muzium Kesenian Asli Taiwan. Tempat ini menarik kerana memaparkan kehidupan masyarakat asli di Taiwan. Ya, negara ini juga mempunyai masyarakat orang aslinya yang unik dan menarik. Saya berasa kagum dan tertarik dengan keprihatinan masyarakat di sini terhadap kehidupan orang asli mereka. dalam muzium ini anda akan mempelajari kehidupan masyarakat orang asli di sini. Dalam masa yang sama anda mungkin akan tertanya-tanya mengenai asal-usul orang asli di rantau Asia Tenggara kerana memang ada kajian yang mengaitkan orang asli Taiwan dengan masyarakat pribumi di rantau Asia Tenggara.

Sebenarnya tempat yang paling saya kagum ialah perpustakaannya. Reka bentuknya sahaja yang luar biasa menarik minat saya. Sekali pandang perpustakaan itu umpama bangunan pejabat lama atau rumah tetapi penuh dengan pengunjung yang sedang membaca. Saya cadangkan anda melawat ke perpustakaan ini dan bandingkan dengan keadaan perpustakaan di negara kita. Sudah pasti anda akan memilih perpustakaan ini. Semua kemudahan disediakan seperti kemudahan asas yang meliputi air minuman sejuk dan panas, tandas, lampu membaca, ruang duduk yang banyak serta internet. Cuma koleksi buku inggerisnya terlalu terhad.

Perlu anda semua ketahui bahawa tempat-tempat yang dinyatakan ini semuanya dalam jarak berdekatan. Saya berpendapat anda memerlukan sehari untuk melawat semua tempat ini dengan selesa.

Pastikan anda melawat tempat-tempat ini apabila berada di Xinbeitou.
Beitou Hot Springs
Hell Valley
Beitou Hot Spring Museum
Perpustakaan

Kehidupan di Taiwan - satu pengalaman

Sudah pasti ramai yang bertanya sebab saya memilih Taiwan untuk bercuti. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti sebab saya memilih negara ini tempat yang selalu dilanda gempa bumi, taufan dan pelbagai bencana alam lagi. Mungkin ada sebab tersirat yang saya dan anda semua akan tahu tidak lama lagi.

Jadi, blog ini saya khasnya untuk menceritakan tentang Taiwan daripada pandangan mata saya sendiri. Agaknya melalui penulisan ini kita semua akan memahami sebab saya memilih negara ini dan melihat negara ini berbeza daripada sebelum ini.

Pastikan anda terus hayati blog ini.